, , , ,

Hari 04 - Senaman Yang Tidak Dijangka

Nak bersenam... Nak bersenam... Nak bersenam... tetapi masih tidak tahu bila hendak dimulakan. Makin hari makin sibuk dan hari ini, aku menemani saudara perempuanku ke Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk menguruskan perihal perubahan pendaftaran perniagaannya.

Seperti biasa sarapanku adalah air kosong dan susu. Kemudian ada sesuatu yang cuba menggodaku. Argh! Tidaakkkkk... Aku rasa kalian pun pasti akan tergoda jikalau ternampak benda ini (sila lihat gambar di bawah)


Tergoda dengan kecantikan bunga mawar? Apalah sangat jambangan bunga mawar itu. Cuba amati kembali gambar tersebut, ada sekotak Coklat Beryl's Tiramisu yang menanti untuk disentuh. Dahulunya Coklat Beryl's Tiramisu ini merupakan makanan kegemaranku dan Cik Abg. Pernah kami habiskan sekotak coklat dalam sekelip mata untuk menghilangkan tekanan ketika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.

Perjuangan harus diteruskan, aku dengan cekal hatinya memalingkan mukaku dari terus menatap Coklat Beryl's Tiramisu yang menggoda itu. Kugapai dengan tangan coklat itu sambil muka berpaling lalu menempatnya di atas peti sejuk. Biarlah coklat penggoda itu terasing di bumi sendiri. Hehehehe...

SYABAS kepada diriku yang telah berjaya menangani gangguan buat julung-julung kalinya ini.

Aku tidak sempat menyentuh makanan yang berat sehingga petang gara-gara pelbagai urusan yang hendakku selesaikan. Perutku kenyang dipenuhi dengan susu. Enaknya! Rasa seperti bayi semula. Hehehehehehe...

Ketika menemani saudara perempuanku berurusan, kami dimaklumkan oleh pegawai yang berada di kaunter bahawa pembaharuan pendaftaran perniagaan hanyalah RM50 untuk 5 tahun. Aku tersalah tafsir pada mulanya, aku ingatkan yang RM50x5 bulan = RM250, rupa-rupanya jikalau dikira-kira kembali, setahun hanyalah RM10. Benar-benar murah!

Pakej Insentif Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang bermula pada 1 Jun lalu akan berakhir pada 31 Disember ini. Syukur alhamdullilah aku sempat untuk merebut peluang ini. Sejurus aku dimaklumkan, aku memperbaharui kesemua pendaftaran perniagaan syarikat-syarikatku.

Cacing-cacing di dalam perutku yang comel ini meronta-ronta kelaparan. Selepas urusan selesai di SSM, kami bergegas mencari tempat untuk menjamu selera. Waktu di telefon pintarku menunjukkan jam 5 petang. Jarak dari tempat letak kereta aku ke restoran yang berada di dalam kompleks membeli belah agak jauh. Aku sedikit pun tidak mengeluh malahan tersenyum lebar. Jikalaulah saudara perempuanku mengamati wajahku mungkin dia akan kehairanan yang aku boleh berada di dalam keadaan tenang dan tersenyum lebar menuju ke arah restoran tersebut. YA!! Aktiviti senamanku telahpun bermula.

Sebelum senaman seluruh anggota badan diteruskan aku buat senaman mulut dahulu dengan hidangan-hidangan yang berkhasiat seperti berikut:


Aku akui inilah hidangan Salad Caesar yang paling enak yang pernah aku rasa. Ditambah dengan cebisan bread crumbs yang rangup dan sos sedikit yang digaul rata. (Lupa untuk beritahu pada pelayan untuk asingkan sos pada awal tempahan namun hasilnya tidak menghampakan tetapi kalorinya tinggi)



Aku turut memesan hidangan Teriyaki Salmon Grilled ini tanpa kentang lenyek dan dilebihkan sayur-sayuran yang lazat tetapi ianya tidak selembut hidangan yang pernah ku rasai sewaktu hari pertama aku memulakan pemakanan yang berkhasiat dan sihat. Rujuk link: http://iraniangurl.blogspot.com/2012/12/hari-01-menanam-tekad-impian-sedekad.html






Ini pula Honey Glazed Chicken Wings... Niat asalnya dipesan untuk makan beramai-ramai namun saudaraku kekenyangan dan menyerah diri kerana tidak dapat membantu menghabiskannya bersama-sama.


Selesai sahaja menikmati hidangan-hidangan yang lazat dan berkhasiat, kami pun mula mengatur langkah untuk menjelajah seluruh kompleks membeli-belah. Ya, tibalah masanya untuk 'SHOPPING!'.

Tahukah anda bahawa dengan aktiviti membeli-belah @ 'SHOPPING', kalori anda akan terbakar? Pasti ramai kaum muslimah yang tersenyum manis malah ada yang tersenyum lebar hingga menampakkan gigi yang putih menyokong 120% kenyataan ini.

Dengan melakukan aktiviti 'WINDOW SHOPPING' di pusat membeli belah selama 2 jam, dapat membantu anda membakar sebanyak 287 kalori! Bayangkan jikalau anda dapat melakukan secara kerap.... Boleh slim dibuatnya tapi jangan sampai anda biarkan poket anda turut serta slim kerana nafsu yang membuak untuk ber'SHOPPING'. Hehehehehe...

Inilah yang kumaksudkan senaman yang tidak disangka yang mana aku telah melaksanakan aktiviti membeli-belah dan juga 'Window Shopping' hampir 3 jam. Percaya atau tidak apabila aku tiba di MPH, aku terpaksa merehatkan diriku sebentar kerana tidak berdaya menangani peluh yang melimpah ruah dan kepalaku mulai sakit.


Ringkasan hidangan yang diambil hari ini:
Hari Keempat Fasa Pertama pada 13/12/12

Sarapan - Susu & Air Kosong
Minum Pagi  & Makan Tenghari (BRUNCH) - Susu
Minum Petang - Salad Caesar, Teriyaki Salmon Grilled & Honey Glazed Chicken Wings
Makan Malam - Susu & Air Kosong

Kalori yang telah diambil - Congak-congak dulu...



0 comments:

 

:: Anak Selim Pasti Slim! :: © 2012 | Designed by Cheap Hair Accessories

Thanks to: Sovast Extensions Wholesale, Sovast Accessories Wholesale and Sovast Hair